Ahad, 27 September 2009

Puasa Enam

Sabda Rasulullah s.a.w
“Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka ia seperti berpuasa sepanjang tahun.”

Hadis ini diriwayatkan dengan 3 jalan. Selain daripada Imam Muslim, hadith ini turut diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Imam Abu Daud, Imam al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga ia dikatakan telah mencapai tahap hadis mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadis ini dan sanadnya dari 20 orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat.” [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]

Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi’e dan Imam Ahmad mengatakan Hukum berpuasa enam hari di bulan Syawal adalah sunat [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533] Adapun Imam Malik dan sebahagian ilmuan dari Mazhab Hanafi menganggap hukumnya adalah makruh.

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hariraya Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa‘id al-Khudri berkata: “Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha.” [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadis no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]

MELAKSANAKAN PUASA SUNAT ENAM SYAWAL SEBELUM MENGQADHA PUASA RAMADHAN.

Ulama berselisih pendapat dalam menentukan yang mana satu lebih afdal dilakukan.

Pendapat Pertama

Laksanakan puasa sunat terlebih dahulu dan melewatkan puasa Qadha’
Pendapat ini adalah berdasarkan kepada dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang.

Aisyah berkata: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan.Aku tidak mampu mengqadha’nya kecuali pada bulan Sya’ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w..” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Syawal).

Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua

Tidak boleh melaksanakan puasa sunat syawal sebelum menunaikan puasa Qadha’ . ( Kena buat Qadha’ dulu )
Ini berdasarkan kepada hadis yang berbunyi: “Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadis no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]

Rasulullah s.a.w. mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Pendapat ini turut dikongsi oleh Imam An-Nawawi, Imam Malik, Imam Abu Hanifah, Imam Syafie, Imam Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf. Mereka berkata bahawa "Qadha’ puasa Ramadan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadha’ adalah secara bertangguh dan tidak disyaratkan qada terus apabila boleh melakukannya

Pendapat ini merupakan pendapat yang rajih (kuat) kerana lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Ini adalah kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang’ ibadah dengan Allah berbanding puasa syawal yang hanyalah sebagai tambahan pahala

Menurut pendapat Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awalwiyyat mengatakan bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu..

MENGGABUNGKAN NIAT QADHA' DAN SUNAT DALAM SATU MASA

Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa’dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka

Tindakan A’isyah ra yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawal.

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: " makruh bagi orang yang ada qadha’ Ramadan melakukan puasa sunat

Imam Syafie yang berpegang kepada pendapat yang kedua berkata "Jika seseorang itu mengqada'kan Puasa Ramadhan di hari-hari yang di sunatkan puasa maka pahala puasa sunat itu akan menyusul meskipun ianya ( puasa sunat ) itu tidak dilakukan.

Pendapat Imam Syafie ini bersandarkan kepada hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari yang bermaksud "Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu ia tidak bermusafir dan sewaktu ia sihat." (Sahih Al-Bukhari)

Maksudnya apabila kita tidak dapat melakukan puasa sunat( seperti puasa Isnin / khamis atau puasa 6) disebabkan kita sakit atau kita mengqadha’kan puasa yang wajib pada hari tersebut maka ganjaran pahala puasa sunat yang tidak sempat kita lakukan itu akan dituliskan sebagai pahala sunat untuk kita.

Di sini tidak wujud penggabungan niat puasa sunat dan puasa Qadha'. Asal niat di sini adalah niat Puasa Qadha’ sahaja dan tiada penggabungan niat puasa sunat dengan puasa Qadha’

Mungkin timbul sedikit kekeliruan. Banyak daripada artikel yang saya baca mengatakan bahawa Imam Syafie telah menggabungkan antara niat puasa sunat dengan puasa Qadha’. Saya rasa kenyataan ini tidak tepat dan ianya perlu diperbetulkan.

Perlu dijelaskan bahawa Imam Syafie berpegang kepada pendapat yang kedua iaitu Tunaikan Puasa Qadha' terlebih dahulu kerana puasa Qadha' itu adalah "hutang Ibadah " kepada Allah yang perlu dibayar. Apa yang membezakan mereka ialah apabila seseorang itu melakukan puasa Qadha’ dihari - hari yang di sunatkan puasa maka pahala puasa sunat hari tersebut tetap dikira walaupun puasa sunat itu tidak berlaku والله أعلم

Dipetik dari www.abubasyir.blogspot.com

Tiada ulasan:

Enter Fleedy.com